Saturday, March 14, 2009

PENSIANGAN

Keputusan mahkamah semalam memihak kepada Tan Sri Joseph Kurup... dengan itu pilihanraya kemungkinan tidak akan berlaku. Saya setuju jika ia berlaku kerana seharusnya tumpuan diberikan kepada membangunkan Parlimen Pensiangan. Banyak yang perlu dilakukan di kawasan itu antaranya ialah membangunankan minda dan modal insan penduduk khususnya di daerah Nabawan dan Parlimen Pensiangan keseluruhannya.
.
Rakyat di kawasan ini dahagakan pembangunan... mereka nampak pembangunan di seluruh dunia kerana hanya kawasan ini dibenarkan menggunakan parabola. Jika dibandingkan dengan penduduk Negeri Sabah yang lain, penduduk di kawasan ini bertuah kerana keistimewaan memiliki parabola membolehkan mereka dapat melihat lebih seratus saluran tv di seluruh dunia. Oleh kerana itu mereka boleh membezakan pembangunan di tempat lain dengan pembangunan di tempat mereka.

Dari Blog Nadzerah
.

Friday, February 13, 2009

Pilihan Raya Pensiangan

MAHKAMAH TANGGUH KEPUTUSAN
.
KOTA KINABALU: Mahkamah Persekutuan pada Khamis (12 Februari 2009) menangguhkan keputusan berhubung rayuan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yanag membatalkan kemenangannya bagi kawasan Parlimen Pensiangan dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.
.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersidang bersama Ketua Hakim Malaya Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Abd Rahman, mengumumkan bahawa mahkamah akan memberikan penghakiman pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
.
Peguam utama Kurup, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, telah meminta mahkamah tinggi di negara ini supaya menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Pensiangan sebagai batal dan tidak sah.
.
Pada 11 September tahun lepas, Kurup telah memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
.
Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan dalam pilihan raya umum ke-12 selepas Pegawai Pilihan Raya menolak kertas pencalonan Danny Anthony Andipai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang lagi calon. Kurup kemudian dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
.
Andipai kemudian mengemukakan petisyen ke mahkamah tinggi untuk membatalkan keputusan pilihan raya itu dan menamakan Kurup dan Pegawai Pilihan Raya Bubudan OT Majalu sebagai responden.
.
Semasa memberi penghakimannya pada 8 September tahun lepas, Wong memutuskan antara lain penolakan kertas pencalonan pempetisyen Andipai adalah salah dan melanggar hak perlembagaannya untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dan undang-undang bertulis berkaitan pengendalian pilihan raya itu.
.
Dalam penghakiman 36 muka surat, Wong berkata, Keputusan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah menerima kertas pencalonan Andipai adalah muktamad dan tidak boleh ditolak oleh Pegawai Pilihan Raya Bubudan OT Majalu, atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.
.
Wong memutuskan Timbalan Pengarah itu telah melaksanakan bidang kuasa seperti diperuntukkan undang-undang dalam membuat keputusan itu, kata Hakim yang turut memutuskan keputusan Bubudan untuk membenarkan bantahan itu adalah keputusan yang salah.
.
Sementara itu, Firoz dalam hujahnya pada Khamis berkata, bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah gagal untuk membuat pemerhatian bahawa pempetisyen tidak mematuhi undang-undang pilihan raya apabila membantah Seksyen 32B Akta Kesalahan Pilihan Raya .
.
Firos berkata, ia telah ditetapkan bahawa kertas pencalonan mesti dikemukakan di antara pukul 9 dan 10 pagi tetapi Andipai telah mengemukakan kertas pencalonan pada 10.25 pagi yang melepasi waktu yang ditetapkan.
.
Sumber: Harian Expres, 13 Februari, 2009

Thursday, January 29, 2009

PERANG MULUT ANTARA PRESIDEN PBS DAN PRESIDEN PBRS SEMAIKN REDA

Terima kasih kepada Y.A.B. Datuk Seri Panglima Musa Aman, Ketua Menteri, kerana campur tangan untuk meredakan perang mulut antara Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Tan Sri Joseph Kurup, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengenai pemilihan calon jika berlaku pilihan raya kecil Kawasan Parlimen Pensiangan nanti. Ketua Menteri mahu semua orang bersatu padu dan menerima sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) sekiranya pilihan raya kecil Parlimen Pensiangan diadakan.
.
Semua ahli komponen BN memang sepatutnya bersatu padu dan menyokong sesiapa sahaja yang menjadi calon jika ingin menang dalam pilihan raya. Sekiranya pilihan raya kecil Pensiangan diadakan, pemimpin-pemimpin komponen BN harus sama-sama berganding bahu untuk memastikan calon BN meraih kemenangan dan tidak kecundang seperti pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini.
.
Kemenangan BN dalam pilihan raya bukanlah semata-mata untuk kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu atau untuk kepentingan BN sahaja, tetapi untuk rakyat keseluruhannya. Pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlu mengambil perhatian terhadap masalah rakyat yang memilih mereka. Kalau mereka mengabaikan kepentingan rakyat, mungkin suatu masa nanti rakyat tidak akan memilih mereka lagi.
.
Penduduk Pensiangan pasti akan senang hati kalau calon pilihan raya kecil Pensiangan itu nanti orang yang mereka sukai. Lebih-lebih lagi kalau orang itu benar-benar bertanggungjawab untuk membela nasib mereka selepas menang dalam pilihan raya. Jangan pula selepas menang nanti bayang-bayang pun tak nampak.

Friday, January 23, 2009

KURUP CABAR PAIRIN BERDEBAT

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph kururp pada Khamis mencabar Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berdebat tentang pertikaian yang semakin menjadi-jadi antara kedua-dua parti itu.
.
"Saya mahu bersemuka dengan Pairin berdebat tentang apa yang beliau katakan dan apa yang beliau katakan mengenai kenyataan Pairin tentang pencalonan di Pensiangan dan implikasi kenyataan itu, makna 'sejarah warna warni dan berdokumen' serta prestasi Pairin semasa menjadi Ahli Parlimen Pensiangan selama dua penggal," kata Kurup dalam satu kenyataan di sini.
.
Beliau juga membidas Seiuasaha Agung PBS Datuk Radin Malleh, sambil berkata bahawa Radin sepatutnya tidak mencampuri isu yang ditimbulkan Pairin itu.
.
"Saya tidak mahu terlibat dalam perdebatan mengenai perkara itu dalam media dengan Radin kerana ia hanyalah melindungi Presidennya," katanya, sambil menambah, Pairin tidak seharusnya bersembunyi di belakang setiausaha agungnya apabila berhadapan dengan situasi yang ditimbulkan olehnya (Pairin).
.
Pertikaian antara dua pihak itu bermula apabila Pairin dilaporkan berkata, pemilihan calon Barisan Nasional (BN) jika pilihan raya kecil diadakan di Pensiangan tidak seharusnya automatik.
.
Ini katanya, adalah untuk mengelakkan berulangnya keputusan pilihan raya kecil Kuala Terenggani di Pensiangan, sambil menambah, peluang untuk menang akan lebih baik jika penduduk menyukai calon berkenaan.
.
Kenyataan Pairin itu mendapat respon daripada Kurup, yang memenangi kerusi itu tanpa bertanding semasa pilihan raya umum tahun lalu tetapi kemudian diisytiharkan batal dan tidak sah berikutan petisyen pilihan raya oleh calon pembangkang, sambil berkata kenyataan Pairin itu telah memjejaskan jentera pilihan raya kecil Pensiangan.
.
"Mungkin beliau boleh dimaafkan melihat kepada sejarah yang berwarna-warni dan berdokumen bersama BN," Kurup disebut sebagai berkata.
.
Radin turut dalam pertikaian itu membela Pairin, sambil berkata, bahawa Kurup yang tidak tahu bagaimana hendak membaca keadaan politik dan sentimen tempatan di Pensiangan, sambil menambah para pengundi si situ mahu seorang calon dari masyarakat majoriti Murut.
.
Beliau seterusnya berkata, kurup gagal membawa pembangunan apabila dia menjadi ADUN Sook dari 1985 hingga 2008 walaupun pernah memegang jawatan menteri penuh, Menteri Kewangan dan Timbalan Ketua Menteri.
Sumber: Harian Ekspres, 23 Januari 2009

Wednesday, January 21, 2009

'PAIRIN JEJAS PERSEDIAAN JENTERA PILIHAN RAYA KECIL PENSIANGAN'

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, kenyataan rakan sejawatnya dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan telah menjejaskan persediaan jentera pilihan raya kecil Pensiangan.
.
"Para pengundi di Pensiangan bersiap sedia sepenuhnya untuk sebarang kemungkinan pilihan raya kecil. Mereka sudah tahu siapa yang mereka hendak undi dan jentera pilihan raya sudah sedia di semua tempat," katanya dalam satu kenyataan dari Putrajaya, pada Selasa.
.
"Saya sebenarnya tidak mahu berkata apa-apa tetapi terpaksa juga berbuat demikian untuk menegur campur tangan Pairin terhadap jentera yang sudah bersiap sedia itu dengan menimbulkan persoalan tentang calon untuk Pensiangan."
.
"Kenyataannya itu bercanggah dengan slogan yang sering dilaung-laungkan oleh BN iaitu "dalam semangat BN," katanya.
.
Kurup berkata, Pairin nampaknya belum memahami perkara itu sepenuhnya "tetapi beliau mungkin boleh dimaafkan melihat kepada sejarahnya yang penuh warna warni bersama BN," katanya.
.
"Sudah tentu beliau tidak mempunyai kredibiliti untuk mentaksir kesesuaian seseorang calon bagi Pensiangan," katanya, sambil menambah Pairin telah menjadi MP Pensiangan selama dua penggal dan rekod pencapaiannya dalam membawa pembangunan kepada penduduk di situ boleh dilihat dengan jelas.
.
Pairin telah berkata bahawa pemilihan calon Barisan Nasional, jika pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi Parlimen Pensiangan, tidak seharusnya dibuat secara automatik. Beliau juga berkata, yang beliau tidak menyatakan yang Kurup, yang memenangi kerusi itu tanpa bertanding sebelum dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya, tidak dibenarkan bertanding tetapi berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu, calon adalah merupakan satu faktor yang amat penting.
.
Sumber; Harian Ekspres, 21 Januari 2009

Tuesday, January 20, 2009

PAIRIN: JANGAN ULANGI KESILAPAN

Tidak harus ada sebarang pemilihan automatik bagi calon Barisan Nasional (BN) sekiranya pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi Parlimen Pensiangan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.
.
Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, walaupun biasa bagi BN untuk memberi semula kerusi itu kepada parti komponen yang berkenaan berdasarkan kuota, namun melihat kepada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini, pemilihan calon juga merupakan satu faktor penting.
.
Ditanya sama ada beliau maksudkan yang rakan sejawatnya dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup tidak harus bertanding semula sekiranya pilihan raya kecil diadakan , beliau berkata: " Tidak, bukan itu maksud saya tetapi calon adalah satu faktor yang amat penting."
.
Kurup memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada pilihan raya lalu, tetapi kemudian kemenangannya itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah berikutan petisyen pilihan raya yang dibuat oleh calon pembangkang. Kes itu kini menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, kepimpinan BN perlu meneliti punca kekalahan pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu bagi mengelaknya daripada berlaku di Pensiangan.
.
Ditemui di majlis rumah terbuka Krismas dan tahun Baharu Cina Kementerian itu di Sembulan dekat sini pada Isnin, belaiu berkata, peluang untuk menang akan lebih baik sekiranya rakyat menyukai calon tersebut.
.
Katanya, walaupun Pensiangan telah menyaksikan pembangunan namun pembangkang masih juga memutarbelitkan isu.
.
Bagaimanapun, beliau berharap rakyat akan memilih dengan bijak dan tidak mengikut perasaan.
.
Pada masa yang sama, beliau percaya peluang untuk meneng juga besar dengan adanya kerjasama daripada semua parti komponen BN.
.
Sumber: Harian Ekspres, 20 Januari 2009