Friday, February 13, 2009

Pilihan Raya Pensiangan

MAHKAMAH TANGGUH KEPUTUSAN
.
KOTA KINABALU: Mahkamah Persekutuan pada Khamis (12 Februari 2009) menangguhkan keputusan berhubung rayuan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yanag membatalkan kemenangannya bagi kawasan Parlimen Pensiangan dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.
.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersidang bersama Ketua Hakim Malaya Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Abd Rahman, mengumumkan bahawa mahkamah akan memberikan penghakiman pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
.
Peguam utama Kurup, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, telah meminta mahkamah tinggi di negara ini supaya menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Pensiangan sebagai batal dan tidak sah.
.
Pada 11 September tahun lepas, Kurup telah memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
.
Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan dalam pilihan raya umum ke-12 selepas Pegawai Pilihan Raya menolak kertas pencalonan Danny Anthony Andipai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang lagi calon. Kurup kemudian dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
.
Andipai kemudian mengemukakan petisyen ke mahkamah tinggi untuk membatalkan keputusan pilihan raya itu dan menamakan Kurup dan Pegawai Pilihan Raya Bubudan OT Majalu sebagai responden.
.
Semasa memberi penghakimannya pada 8 September tahun lepas, Wong memutuskan antara lain penolakan kertas pencalonan pempetisyen Andipai adalah salah dan melanggar hak perlembagaannya untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dan undang-undang bertulis berkaitan pengendalian pilihan raya itu.
.
Dalam penghakiman 36 muka surat, Wong berkata, Keputusan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah menerima kertas pencalonan Andipai adalah muktamad dan tidak boleh ditolak oleh Pegawai Pilihan Raya Bubudan OT Majalu, atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.
.
Wong memutuskan Timbalan Pengarah itu telah melaksanakan bidang kuasa seperti diperuntukkan undang-undang dalam membuat keputusan itu, kata Hakim yang turut memutuskan keputusan Bubudan untuk membenarkan bantahan itu adalah keputusan yang salah.
.
Sementara itu, Firoz dalam hujahnya pada Khamis berkata, bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah gagal untuk membuat pemerhatian bahawa pempetisyen tidak mematuhi undang-undang pilihan raya apabila membantah Seksyen 32B Akta Kesalahan Pilihan Raya .
.
Firos berkata, ia telah ditetapkan bahawa kertas pencalonan mesti dikemukakan di antara pukul 9 dan 10 pagi tetapi Andipai telah mengemukakan kertas pencalonan pada 10.25 pagi yang melepasi waktu yang ditetapkan.
.
Sumber: Harian Expres, 13 Februari, 2009