Thursday, October 23, 2008

RM2 juta tingkat infrastruktur di Pensiangan

ARKIB : 23/10/2008
KENINGAU 22 Okt. - Kerajaan memperuntukkan RM2 juta untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di Pensiangan bagi memberi lebih kemudahan dan keselesaan penduduk di daerah tersebut.
Pegawai Pembangunan Negeri Sabah, Matusin Sunsang berkata, antara kemudahan yang bakal dibina ialah balai budaya, jeti, laluan pejalan kaki dan projek pembangunan lain menerusi pejabat daerah.
"Projek pembangunan infrastruktur ini bukan sahaja di Pensiangan tetapi juga daerah kecil yang berdekatan seperti Nabawan dan Pegalungan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Matusin berkata, daripada jumlah itu, RM1.2 juta akan dilaksanakan di bawah Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) buat sementara waktu bagi projek membabitkan keperluan teknikal.
Selebihnya kata beliau, akan dilaksanakan pada masa akan datang di bawah pejabat daerah serta jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.
"Ini kerana PPN tidak mempunyai tenaga yang cukup memandangkan pada masa ini hanya terdapat 12 pegawai teknikal di PPN. Pejabat daerah juga perlu melakukan kajian terlebih dahulu.


Lokasi

"Pejabat daerah akan turun padang untuk mengenal pasti lokasi projek sebelum membuat anggaran sebenar termasuk mengambil kira kos pengangkutan dan perkara lain yang berkaitan," katanya.
Menurutnya, kos projek yang dilaksanakan di kawasan bandar tidak sama seperti di kawasan luar bandar kerana di pedalaman memerlukan kos pengangkutan yang tinggi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan para kontraktor yang terpilih supaya melaksanakan projek mengikut arahan serta menyiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Tambahnya, kontraktor yang gagal berbuat demikian akan diberi amaran atau disenarai hitam daripada menerima sebarang projek pembangunan pada masa akan datang.
Sementara itu, beliau memberitahu, Ketua Isi Rumah (KIRT) di Pensiangan khususnya di Pegalungan yang berdaftar sebagai KIRT, akan diberi geran peruntukkan RM10,000.
"Geran yang diberi oleh pejabat daerah berkenaan adalah untuk membeli enjin motor sangkut dan sampan besar untuk mereka gunakan sebagai bot penambang," katanya.
Jelasnya, peruntukan disalur melalui Program Peningkatan Ekonomi dan tujuan utama ialah meningkatkan taraf hidup sekali gus mengeluar mereka dari belenggu kemiskinan.
Beliau berkata, pada masa kini, perkhidmatan pengangkutan rasmi dari Jeti Salong, dekat sini yang menghubungkan Pegalungan dan Pensiangan masih belum ada.
"Pengangkutan yang ada hanya bot yang disewa khas oleh penumpang tetapi itu pun jadual tidak menentu," ujarnya.


-Utusan Malaysia