Monday, December 15, 2008

SAPP Akan Bertanding

KENINGAU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata, partinya akan bertanding sekiranya pilihan raya kecil diadakan di kawasan Parlimen Pensiangan.
.
Beliau berkata, penduduk tempatan di sini yang sama ada ahli atau penyokong parti akan berpeluang menjadi calon.
.
Yong menjawab soalan seorang penyokong semasa satu seminar SAPP, di sini, Jumaat lepas. Kira-kira 600 ahli bersama para pemimpin mereka menghadiri kursus satu hari itu.
.
Yong berkata, beliau gembira kerana SAPP masih mendapat sokongan di kawasan luar bandar.
.
Di bahagian Sook, katanya, SAPP mempunyai lima cawangan dengan kira-kira 1,000 ahli dan di Nabawan terdapat tiga cawangan dengan 320 ahli di pekan Nabawan, Sepulut dan Pensiangan.
Mengenai mantan Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang hendak menubuhkan parti politik baru, Naib Presiden SAPP, Datuk Philip Yong berkata, Raymond kemungkinan besar akan menjadi seorang penyokong parti dan bukannya pemimpin parti.
.
Dalam seminar itu, beberapa penyokong mencadangkan Yong dicalonkan sebagai calon untuk Pensiangan kerana ramai yang percaya yang beliau tidak mementingkan diri dan telah menunjukkan keikhlasan dalam perjuangannya untuk berkhidmat demi kepentingan penduduk Sabah.
.
Pada 8 September lepas, Mahkamah Pilihan Raya telah mengisytiharkan keputusan pilihan raya Parlimen Pensiangan yang dimenangi oleh Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup tanpa bertanding pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu, sebagai batal dan tidak sah.
.
Pada 11 September lepas, Kurup memohon di Mahkamah Persekutuan supaya keputusan mahkamah itu ditangguhkan.
.
Keputusan mengenai rayuan Kurup itu akan didengar pada 7 Januari tahun depan.
.
Sumber; Harian Ekspres 15 Disember, 2008
.

Friday, December 12, 2008

Wujud Rasa Tidak Puas Hati Dalam PKR Sabah

KOTA KINABALU: Sebelum bermulanya pendengaran rayuan terhadap pembatalan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Pesiangan yang ditetapkan 7 Januari di Putrajaya, perebutan untuk dicalonkan bagi kemungkinan pilihan raya kecil sudah bermula.
.
Bagi Barisan Nasional (BN), pilihannya adalah jelas - Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, yang kemenangannya dikerusi itu dalam pilihan raya umum Mac lalu diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Pilihan Raya di sini pada 8 September.
.
Bagaimanapun, keadaan agak rumit bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), ekoran parti itu dilihat masing-masing dengan calon pilihan sendiri, dengan penyokong kedua-dua kumpulan dengan berani menyatakan demikian dalam media.
.
Satu kumpulan menyokong Danny Anthony Andipai, calon PKR bagi kerusi itu dalam pilihan raya umum Mac lalu, manakala satu lagi kumpulan mahukan Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk menentang Kurup.
.
Pada masa yang sama PKR Sabah juga sedang bergelut dengan isu pengganti, khususnya delima mengenai siapa yang patut dilantik memegang jawatan Ketua Penerangan PKR Sabah, kini dipegang Ansari Abdullah.
.
PKR masih belum mengumumkan sama ada akan mengekalkan Ansari bagi jawatan itu, membuat PKR Sabah dilanda kemelut berhubung isu kepimpinan.
.
Penganalisis politik tempatan melihat dua isu itu sebagai mencerminkan rasa tidak puas hati yang mula berakar umbi di kalangan pemimpin dan penyokong PKR negeri - satu keadaan yang mungkin boleh menjejaskan peluang PKR untuk menawan kerusi Pensiangan daripada BN.
.
Pemerhati politik, Taising Sambang berkata, senario terbaru dalam politik parti itu akan memberikan kelebihan kepada BN untuk mempertahankan kerusi itu.
.
"Agak sukar untuk PKR memberi cabaran kepada kekuatan BN dalam keadaan sekarang. Boleh dikatakan agak mustahil mereka boleh menang kecuali mereka bersatu."
.
"Satu lagi faktor kelebihan BN ialah secara umumnya, penduduk Pensiangan masih memerlukan pembangunan dan BN mempunyai kelebihan dari segi membawa pembangunan dan memenuhi harapan mereka,"katanya kepada Bernama.
.
Prospek masa yang panjang untuk melobi bagi pencalonan menimbulkan kerisauan di kalangan banyak pemimpin PKR Sabah, yang bimbang perebutan dalaman parti akan memberi manfaat kepada BN.
.
Ini telah mendorong Pemuda PKR Sabah menggesa anggota parti mengelak daripada mengeluarkan kenyataan mengelirukan.
.
Bagi Setiausaha PKR Bahagian Tuaran Jumin Jeffrey Masuling, melobi untuk dicalonkan adalah perkara biasa.
Katanya parti itu mengamalkan demokrasi dengan anggotanya bebas mengeluarkan pendapat mereka.
.
Masuling berkata, walaupun beberapa pemimpin PKR telah menyuarakan hasrat mereka untuk bertanding di kerusi itu, mereka semua "menyanyikan lagu yang sama."
.
"Sesetengahnya mungkin menyanyi secara soprano, tenor atau bass tetapi semua ini menambah lagi nilai dalam nyanyian lagu itu. Ini menunjukkan yang parti ini tidak kekurangan peminpin yang berwibawa,"katanya.
.
Menyatakan sokongannya kepada Andipai, yang berjaya dalam usahanya memfailkan petisyen itu, Masuling berkata adalah tidak betul untuk menganggap Ansari merupakan satu-satunya yang menyokong Andipai sebagai calon bagi kerusi itu.
.
Bagaimanapun, pemimpin dan penyokong PKR negeri akan patuh dengan keputusan parti, kata Masuling dan menurutnya PKR yakin akan membuat kejutan di Pensiangan.
.
Dalam penghakiman pada 8 September, Hakim Mahkamah Tinggi David Wong Dak Wah memutuskan, antara lain, penolakan kertas pencalonan Andipai adalah salah dan melanggar hak berpelembagaannya untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.
.
Kurup kemudian memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 12 September dan pendengaran rayuan itu ditetapkan pada 7 Januari - Bernama
.

Monday, December 8, 2008

Felcra mula projek sawit skala besar di Pamuntarian

ARKIB : 08/12/2008

Oleh Sapurah Liyunan

NABAWAN 7 Dis. - Felcra Berhad akan memulakan fasa kedua dan ketiga projek penanaman kelapa sawit secara besar-besaran di mukim Pemuntarian, dekat sini, bermula tahun depan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, fasa kedua membabitkan keluasan 364 hektar manakala fasa ketiga pula di kawasan seluas 433 hektar.

"Felcra akan mulakan projek penanaman kelapa sawit di Pemuntarian pada awal tahun depan, sekarang ini kita sudah pun siap membersihkan kawasan yang akan ditanam itu," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Mesra Bersama Rakyat dan Penyampaian Pendahuluan Dividen Peserta Felcra Berhad Pemuntarian di dewan serbaguna di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan dividen bernilai RM124,500 kepada 73 peserta Felcra di Pemutarian. Turut hadir timbalannya, Tan Sri Joseph Kurup, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Nasir Baba dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Sairin Karno.
Fasa pertama projek penanaman kelapa sawit yang dilaksanakan di kawasan Pemuntarian dimulakan pada 2003.

Muhammad berkata, projek tersebut bertujuan untuk memajukan tanah penduduk di situ yang terbiar dan kebanyakannya tergolong sebagai ketua isi rumah termiskin (KIRT).
Beliau memberitahu, terdapat kira-kira 2,000 KIRT di mukim tersebut dan melalui projek berkenaan, kerajaan berusaha mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.
"Felcra akan terus membantu memajukan tanah penduduk terbiar dengan tanaman sawit bagi meningkatkan ekonomi sekali gus membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Sehubungan itu katanya, pejabat daerah di sini diminta mengenal pasti kawasan atau tanah penduduk yang terbiar dan sesuai untuk dimajukan dengan tanaman sawit.
Beliau berkata, sehingga kini, Felcra sudah pun membangunkan kawasan seluas 10,000 hektar di Sabah membabitkan 1,900 peserta sejak beroperasi pada 1995.
Katanya, daripada jumlah itu, seluas 431 hektar dibangunkan di Pemuntarian yang membabitkan 73 peserta.

Sementara itu katanya, sebanyak 100 buah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dibina di tiga buah daerah iaitu Pensiangan, Nabawan dan Sook.
Tambahnya, langkah tersebut membuktikan kerajaan sedia ada prihatin dan bertanggungjawab terhadap rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm

Tuesday, December 2, 2008

Dakwaan orang luar rampas tanah
100 pemilik tanah minta kerajaan campur tangan

KENINGAU - Kira-kira 100 pemilik tanah di sini mahu kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan kes orang luar merampas tanah milik mereka, di mana mereka mendakwa sudah membuat laporan polis pada 2006.
.
Mereka mendakwa 'orang luar' ini langsung tidak menghiraukan papan tanda larangan masuk yang dipasang oleh pihak polis di tanah mereka yang ditanam dengan kelapa sawit yang sudah dituai.
.
Dalam satu sidang media Isnin, Pengerusi JKKK Kampung Biah, Aris Kasiwat, mantan Ketua Kampung, Ambuna Lawas dan Ketua Keselamatan, Alicius Angkakan berkata, mereka berharap polis akan menyiasat perkara itu.
.
Ambuna mendakwa kerajaan telah mengklasifikasikan tanah itu untuk penduduk kampung di Pensiangan, Pagalungan dan Nabawan pada tahun 1966 dengan tujuan membolehkan rakyat menikmati tanah sendiri.
.
Tanah seluas 4,000 hektar dibahagikan menjadi 800 lot tetapi hanya 200 lot yang dibangunkan sementara 200 lot lagi untuk kegunaan anak-anak mereka nanti.
.
Bagaimanapun, pada 16 Jun 2006, beberapa lelaki datang dan 'merampas' lot-lot yang kosong.
.
Penduduk kampung cuba menghalang orang-orang luar ini yang mengupah orang asing untuk membersihkan tanah itu.
.
Merka turut membuat laporan polis dengan harapan pihak polis akan mengambil tindakan tetapi sehingga kini tidak ada langkah yang diambil kecuali pemasangan papan tanda larangan itu.
.
Alicius berkata, jika kerajaan tidak mahu menyelesaikan masalah itu, penduduk kampung akan mengambil tindakan sendiri.
.
Sebagai rekod, kerajaan membuka dua skim penempatan bagi penduduk di Pensiangan di Kampung Biah dan juga Skim Nabawan semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia.
..
Sebanyak 200 rumah dibina di Biah manakala 400 lagi dibina di bawah Skim Nabawan. Skim penempatan Nabawan kemudiannya dibahagikan kepada empat perkampungan.
.
Kerajaan telah menghulurkan bantuan kepada penduduk untuk menanam padi, koko dan kopi serta penternakan haiwan daripada tahun 1977 sehinggalah 1979.
.
Ambuna berharap, kerajaan akan membantu mereka 'mendapatkan semula' tanah yang telah disediakan untuk mereka.
.
Sumber: Harian Ekspres 2 Disember 2008 (Selasa)
.

Monday, December 1, 2008

NABAWAN SEMAKIN DEKAT DI MATA DAN DEKAT DI HATI PEMIMPIN

Pekan Nabawan yang terletak dalam Parlimen Pensiangan semakin kerap dikunjungi oleh peminpin-pemimpin pusat. Ini menunjukkan bahawa Pekan Nabawan yang terletak di pedalaman itu semakin dekat di mata dan dekat di hati para pemimpin kita, tidak kira pemimpin pusat atau pemimpin peringkat negeri. Walaupun Pekan Nabawan terletak di pedalaman tetapi ia boleh dikunjungi melalui jalan raya yang berturap. Perjalan dari Kota Kinabalau ke Keningau melalui jalan Kimanis-Keningau cuma memakan masa lebih kurang satu jam setengah dan dari Keningau ke Nabawan lebih kurang 45 minit.

Pada 29 November 2008, saya pergi ke Nabawan untuk menyaksikan Program Perhimpunan Rakyat yang dirasmikan oleh Y.B. Datuk Bobbey Suan, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah dan Pelancaran Layar Bestari yang dirasmikan oleh Y.B. Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia pada sebelah malamnya. Pada malam itu Jabatan Penerangan juga mengadakan persembahan PENTARAMA selepas tayangan Layar Bestari. Sambutan amat menggalakkan dan dianggarkan lebih kurang 6,000 orang penduduk tempatan hadir menyaksikan pelbagai acara pada sepanjang hari tersebut.

Antara pemimpin yang hadir pada sebelah malam ialah Y.B. Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Y.B. Datuk Bobbey Suan, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah, Y.B. Raimie Unggi, Ahli Parlimen Kawasan Tenom dan Timbalan Ketua Bahagaian UMNO Pensiangan. Y.Bhg. Dato' Kamarudin Siarap, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Malaysia, Dato' Haji Abdullah Morad, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Pengarah-Pengarah Negeri Jabatan/Agensi di bawah Kementerian Penerangan juga hadir bersama-bersama pada malam itu.

Selain itu telah juga diadakan pameran agensi-agensi kerjaan, mini studio RTM, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan karaoke dan pelbagai sukan tradisi seperti pertandingan menyumpit dan melastik. Komuti Bestari juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam pameran untuk mempromosikan pelbagai produk mereka. Y.B. Datuk Ahmad Shabery Cheek telah diberi peluang menyertai acara boling kelapa dan menyumpit selepas membuat pelepasan pertandingan akhir tarik tali. Datuk Bobbey Suan dan Dato' Kamaruddin Siaraf juga turut sama menyertai boling kelapa sebelum dibawa melawat ke kawasan yang dilanda banjir.

Sebelum itu, Dato'Ahmad Shabery Cheek telah diwawancara dalam siaran secara langsung dari studio mini RTM, melawat pameran Jabatan-Jabatan/Agensi Kerajaan dan Komuniti Bestari dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Pada sebelah pagi, Dato' Ahmad Shabery Cheek Stesyen Radio Keningau FM di Keningau yang dijangka akan mula beroperasi pada bulan Januari 2009. Beliau dan Datuk Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah telah diberi peluang untuk mencuba bakat sebagai penyampai ketika mengadakan lawatan ke stesyen tersebut di Bangunan Persekutuan, Keningau.

Kalau anda memandu melalui jalan Kimanis-Keningau kenalah berhati kerana keadaan yang curam dan berbukit bukau apabila anda melintasi Banjaran Crocker. Selain itu, ada kalanya juga jalan raya diliputi kabus terutamanya pada sebelah petang dan pada awal malam, lebih-lebih lagi semasa musim hujan.

Semasa berada di Nabawan saya terserempak pengunjung yang sedang bergambar untuk kenangan dengan penari-penari kebudayaan suku kaum Murut yang menunggu ketibaan Y.B. Datuk Bobbey Suan, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan untuk merasmikan Program Perhimpunan Rakyat di kawasan Tapak Tamu Nabawan.

Sebelum itu, saya mengambil kesempatan mengambil gambar penari kebudayaan sedang bersolek di kawasan lapang untuk mencantikan lagi diri mereka yang sudah sedia cantik. Kunjungilah Nabawan pada bila-bila masa. Nabawa sentiasa menanti kunjungan anda.
.