Thursday, November 20, 2008

Lebih RM4.1 Juta Untuk Program Penanaman Vanila Bagi 2008-2009

20 November, 2008 15:00 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Korporasi Pembangunan Desa (KPD), yang diberi tanggungjawab untuk mempelopori dan membangunkan industri penanaman vanila di negeri ini, akan membelanjakan RM4.128 juta untuk program itu bagi tahun 2008 dan 2009.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Bobbey Suan berkata KPD mensasarkan sejumlah 480 petani luar bandar akan terbabit dalam program itu.

"Setakat ini seramai 136 orang petani miskin telah berdaftar dengan KPD manakala seramai 26 pengusaha komersil telah mula mengusahakan penanaman vanila.

"KPD juga mensasarkan seluas 200 hektar kawasan akan dibangunkan dengan tanaman vanila menjelang 2010 dan dijangka boleh menghasilkan sebanyak 1,000 tan metrik vanila setahun," katanya semasa menjawab soalan Datuk Louis Rampas (BN-Kiulu) di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Katanya vanila mempunyai pelbagai guna dalam industri makanan, perubatan dan pembuatan, di mana kajian pasaran menunjukkan permintaan terhadap komoditi itu terus meningkat.

Katanya KPD turut memberi latihan dan tunjuk ajar serta input pertanian seperti benih vanila, baja dan sebagainya secara kredit kepada peserta.

"KPD juga menjamin pasaran bagi vanila yang dihasilkan oleh peserta pada harga yang ditetapkan. Bayaran balik kepada bantuan berkenaan akan dibuat melalui hasil jualan," katanya.

Selain itu, KPD juga merancang mendirikan sebuah kilang untuk memproses buah vanila yang dihasilkan pesertanya.

Bagi tanaman jatropha pula, katanya Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) telah membuka kawasan seluas 400 hektar di Skim Penempatan Nabawan bagi membangunkan sebuah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Tanaman Jatropha bertaraf antarabangsa.

"Sebagai persediaan untuk menerajui industri ini, pihak SLDB telah melaksanakan pengumpulan maklumat; membuat lawatan belajar ke India, Amerika Syarikat dan Indonesia; menghadiri seminar di Amerika Syarikat dan Kuala Lumpur; mendirikan plot percubaan di daerah Sook seluas 2 hektar dan daerah Tenom seluas 2 hektar," katanya.

-- BERNAMA

No comments: