Friday, December 12, 2008

Wujud Rasa Tidak Puas Hati Dalam PKR Sabah

KOTA KINABALU: Sebelum bermulanya pendengaran rayuan terhadap pembatalan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Pesiangan yang ditetapkan 7 Januari di Putrajaya, perebutan untuk dicalonkan bagi kemungkinan pilihan raya kecil sudah bermula.
.
Bagi Barisan Nasional (BN), pilihannya adalah jelas - Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, yang kemenangannya dikerusi itu dalam pilihan raya umum Mac lalu diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Pilihan Raya di sini pada 8 September.
.
Bagaimanapun, keadaan agak rumit bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), ekoran parti itu dilihat masing-masing dengan calon pilihan sendiri, dengan penyokong kedua-dua kumpulan dengan berani menyatakan demikian dalam media.
.
Satu kumpulan menyokong Danny Anthony Andipai, calon PKR bagi kerusi itu dalam pilihan raya umum Mac lalu, manakala satu lagi kumpulan mahukan Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk menentang Kurup.
.
Pada masa yang sama PKR Sabah juga sedang bergelut dengan isu pengganti, khususnya delima mengenai siapa yang patut dilantik memegang jawatan Ketua Penerangan PKR Sabah, kini dipegang Ansari Abdullah.
.
PKR masih belum mengumumkan sama ada akan mengekalkan Ansari bagi jawatan itu, membuat PKR Sabah dilanda kemelut berhubung isu kepimpinan.
.
Penganalisis politik tempatan melihat dua isu itu sebagai mencerminkan rasa tidak puas hati yang mula berakar umbi di kalangan pemimpin dan penyokong PKR negeri - satu keadaan yang mungkin boleh menjejaskan peluang PKR untuk menawan kerusi Pensiangan daripada BN.
.
Pemerhati politik, Taising Sambang berkata, senario terbaru dalam politik parti itu akan memberikan kelebihan kepada BN untuk mempertahankan kerusi itu.
.
"Agak sukar untuk PKR memberi cabaran kepada kekuatan BN dalam keadaan sekarang. Boleh dikatakan agak mustahil mereka boleh menang kecuali mereka bersatu."
.
"Satu lagi faktor kelebihan BN ialah secara umumnya, penduduk Pensiangan masih memerlukan pembangunan dan BN mempunyai kelebihan dari segi membawa pembangunan dan memenuhi harapan mereka,"katanya kepada Bernama.
.
Prospek masa yang panjang untuk melobi bagi pencalonan menimbulkan kerisauan di kalangan banyak pemimpin PKR Sabah, yang bimbang perebutan dalaman parti akan memberi manfaat kepada BN.
.
Ini telah mendorong Pemuda PKR Sabah menggesa anggota parti mengelak daripada mengeluarkan kenyataan mengelirukan.
.
Bagi Setiausaha PKR Bahagian Tuaran Jumin Jeffrey Masuling, melobi untuk dicalonkan adalah perkara biasa.
Katanya parti itu mengamalkan demokrasi dengan anggotanya bebas mengeluarkan pendapat mereka.
.
Masuling berkata, walaupun beberapa pemimpin PKR telah menyuarakan hasrat mereka untuk bertanding di kerusi itu, mereka semua "menyanyikan lagu yang sama."
.
"Sesetengahnya mungkin menyanyi secara soprano, tenor atau bass tetapi semua ini menambah lagi nilai dalam nyanyian lagu itu. Ini menunjukkan yang parti ini tidak kekurangan peminpin yang berwibawa,"katanya.
.
Menyatakan sokongannya kepada Andipai, yang berjaya dalam usahanya memfailkan petisyen itu, Masuling berkata adalah tidak betul untuk menganggap Ansari merupakan satu-satunya yang menyokong Andipai sebagai calon bagi kerusi itu.
.
Bagaimanapun, pemimpin dan penyokong PKR negeri akan patuh dengan keputusan parti, kata Masuling dan menurutnya PKR yakin akan membuat kejutan di Pensiangan.
.
Dalam penghakiman pada 8 September, Hakim Mahkamah Tinggi David Wong Dak Wah memutuskan, antara lain, penolakan kertas pencalonan Andipai adalah salah dan melanggar hak berpelembagaannya untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.
.
Kurup kemudian memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 12 September dan pendengaran rayuan itu ditetapkan pada 7 Januari - Bernama
.

1 comment:

kiraguladfall said...

Ansari keluar dari PKR dialu-alukan, kegagalan BA di Sabah pada pilihanraya umum ke 12 Mac lepas adalah angkara Ansari. Beliau dikatakan maling Ketua menteri Sabah.

BN menang kerana Masyarakat masih perlukan pembangunan. kalau BA memerintah adakah tiada pembangunan ?. Isu pembangunan adalah lagu lama, sebenarnya pengundi penentu kerajaan yang memerintah, Bukan Pemimpin UMNO, BN, Agong dan siapa-siapa... Pengundi boleh menukar pemerintah dalam tempoh lima tahun... pengundi jangan takut, tunjukkan kuasa janganm tunduk kepada pemimpin-pemimpin sekarang atau dimasa akan datang... Tujuan mereka pemimpin yang ada sekarang untuk mempertahankan kerajaan, adalah untuk mempertahankan keistemewaan, kuasa dan kekayaan, pemimpin bersenang lenang tetapi pengundi/rakyat juga yang menderita......