Monday, December 8, 2008

Felcra mula projek sawit skala besar di Pamuntarian

ARKIB : 08/12/2008

Oleh Sapurah Liyunan

NABAWAN 7 Dis. - Felcra Berhad akan memulakan fasa kedua dan ketiga projek penanaman kelapa sawit secara besar-besaran di mukim Pemuntarian, dekat sini, bermula tahun depan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, fasa kedua membabitkan keluasan 364 hektar manakala fasa ketiga pula di kawasan seluas 433 hektar.

"Felcra akan mulakan projek penanaman kelapa sawit di Pemuntarian pada awal tahun depan, sekarang ini kita sudah pun siap membersihkan kawasan yang akan ditanam itu," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Mesra Bersama Rakyat dan Penyampaian Pendahuluan Dividen Peserta Felcra Berhad Pemuntarian di dewan serbaguna di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan dividen bernilai RM124,500 kepada 73 peserta Felcra di Pemutarian. Turut hadir timbalannya, Tan Sri Joseph Kurup, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Nasir Baba dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Sairin Karno.
Fasa pertama projek penanaman kelapa sawit yang dilaksanakan di kawasan Pemuntarian dimulakan pada 2003.

Muhammad berkata, projek tersebut bertujuan untuk memajukan tanah penduduk di situ yang terbiar dan kebanyakannya tergolong sebagai ketua isi rumah termiskin (KIRT).
Beliau memberitahu, terdapat kira-kira 2,000 KIRT di mukim tersebut dan melalui projek berkenaan, kerajaan berusaha mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.
"Felcra akan terus membantu memajukan tanah penduduk terbiar dengan tanaman sawit bagi meningkatkan ekonomi sekali gus membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Sehubungan itu katanya, pejabat daerah di sini diminta mengenal pasti kawasan atau tanah penduduk yang terbiar dan sesuai untuk dimajukan dengan tanaman sawit.
Beliau berkata, sehingga kini, Felcra sudah pun membangunkan kawasan seluas 10,000 hektar di Sabah membabitkan 1,900 peserta sejak beroperasi pada 1995.
Katanya, daripada jumlah itu, seluas 431 hektar dibangunkan di Pemuntarian yang membabitkan 73 peserta.

Sementara itu katanya, sebanyak 100 buah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dibina di tiga buah daerah iaitu Pensiangan, Nabawan dan Sook.
Tambahnya, langkah tersebut membuktikan kerajaan sedia ada prihatin dan bertanggungjawab terhadap rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm

No comments: