Tuesday, January 20, 2009

PAIRIN: JANGAN ULANGI KESILAPAN

Tidak harus ada sebarang pemilihan automatik bagi calon Barisan Nasional (BN) sekiranya pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi Parlimen Pensiangan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.
.
Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, walaupun biasa bagi BN untuk memberi semula kerusi itu kepada parti komponen yang berkenaan berdasarkan kuota, namun melihat kepada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini, pemilihan calon juga merupakan satu faktor penting.
.
Ditanya sama ada beliau maksudkan yang rakan sejawatnya dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup tidak harus bertanding semula sekiranya pilihan raya kecil diadakan , beliau berkata: " Tidak, bukan itu maksud saya tetapi calon adalah satu faktor yang amat penting."
.
Kurup memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada pilihan raya lalu, tetapi kemudian kemenangannya itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah berikutan petisyen pilihan raya yang dibuat oleh calon pembangkang. Kes itu kini menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, kepimpinan BN perlu meneliti punca kekalahan pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu bagi mengelaknya daripada berlaku di Pensiangan.
.
Ditemui di majlis rumah terbuka Krismas dan tahun Baharu Cina Kementerian itu di Sembulan dekat sini pada Isnin, belaiu berkata, peluang untuk menang akan lebih baik sekiranya rakyat menyukai calon tersebut.
.
Katanya, walaupun Pensiangan telah menyaksikan pembangunan namun pembangkang masih juga memutarbelitkan isu.
.
Bagaimanapun, beliau berharap rakyat akan memilih dengan bijak dan tidak mengikut perasaan.
.
Pada masa yang sama, beliau percaya peluang untuk meneng juga besar dengan adanya kerjasama daripada semua parti komponen BN.
.
Sumber: Harian Ekspres, 20 Januari 2009

1 comment:

Padamar Seri said...

perihal calon dalam pilihanraya merupakan salah satu aspek yang perlu diambilkira dan dititikberatkan, apatah lagi jika melibatkan pilihanraya kecil yang menjadi tumpuan. Penilaian teliti perlu dibuat.

Kalau anda perhatikan pilihanraya kecil di KT, isu kecil seperti cara bersalam juga diambil kira. Komen dari pemimpin juga tidak terkecuali. Maknanya jika ingin memenangi kerusi melalui pilihanraya kecil terutamanya yang mendapat tumpuan, aspek yang paling kecil patut diambil berat. Apatah lagi pilihanraya seperti di KT, 50-50. Aspek-aspek kecil inilah menjadi penentu kejayaan.

Di pensiangan mungkin nampak berbeza kerana kerusi ini dimenangi tanpa bertanding, maknanya tiada asas untuk disandarkan ataupun skop yang perlu diberi perhatian melainkan kena kerja dan kena lihat dari semua aspek. Keputusan pilihanraya tahun 2004 tidak boleh dijadikan ukuran kerana demam 2008/2009 adalah berlainan.

Mau tidak mau Pensiangan tetap jadi tumpuan.

Justeru itu, dalam suasana ini jika ingin melihat sebuah kemenangan, BN harus memilih calon yang terbaik.

Dan lagi diperingatkan, Pensiangan bakal mencipta tanda aras untuk piliranraya DUN Sarawak, makanya pihak BN harus memastikan semua aspek adalah dalam keadaan terbaik terutamanya dalam memastikan bahawa pilihanray itu nanti merupakan pilihanraya paling adil dalam sejarah, bukan hanya dari segi pengurusannya tapi dari sudut media perdananya juga harus seadil-adilnya.

Biar kalah dengan penuh bermaruah, sebab itu lebih baik dari menang dengan presepsi negatif.