Wednesday, January 21, 2009

'PAIRIN JEJAS PERSEDIAAN JENTERA PILIHAN RAYA KECIL PENSIANGAN'

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, kenyataan rakan sejawatnya dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan telah menjejaskan persediaan jentera pilihan raya kecil Pensiangan.
.
"Para pengundi di Pensiangan bersiap sedia sepenuhnya untuk sebarang kemungkinan pilihan raya kecil. Mereka sudah tahu siapa yang mereka hendak undi dan jentera pilihan raya sudah sedia di semua tempat," katanya dalam satu kenyataan dari Putrajaya, pada Selasa.
.
"Saya sebenarnya tidak mahu berkata apa-apa tetapi terpaksa juga berbuat demikian untuk menegur campur tangan Pairin terhadap jentera yang sudah bersiap sedia itu dengan menimbulkan persoalan tentang calon untuk Pensiangan."
.
"Kenyataannya itu bercanggah dengan slogan yang sering dilaung-laungkan oleh BN iaitu "dalam semangat BN," katanya.
.
Kurup berkata, Pairin nampaknya belum memahami perkara itu sepenuhnya "tetapi beliau mungkin boleh dimaafkan melihat kepada sejarahnya yang penuh warna warni bersama BN," katanya.
.
"Sudah tentu beliau tidak mempunyai kredibiliti untuk mentaksir kesesuaian seseorang calon bagi Pensiangan," katanya, sambil menambah Pairin telah menjadi MP Pensiangan selama dua penggal dan rekod pencapaiannya dalam membawa pembangunan kepada penduduk di situ boleh dilihat dengan jelas.
.
Pairin telah berkata bahawa pemilihan calon Barisan Nasional, jika pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi Parlimen Pensiangan, tidak seharusnya dibuat secara automatik. Beliau juga berkata, yang beliau tidak menyatakan yang Kurup, yang memenangi kerusi itu tanpa bertanding sebelum dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya, tidak dibenarkan bertanding tetapi berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu, calon adalah merupakan satu faktor yang amat penting.
.
Sumber; Harian Ekspres, 21 Januari 2009

No comments: