Thursday, September 11, 2008

Pensiangan mula jadi tumpuan

ARKIB : 10/09/2008

Oleh JAMDI NASIR
(wartawan utusan)

keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu semalam mula menjadikan Pensiangan sebagai tumpuan dan buah mulut orang ramai di seluruh negara.

Tentu sekali tumpuan itu bakal memberi impak berbeza dengan suasana di Pensiangan itu sendiri yang selama ini dikenali sebagai kawasan pedalaman yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian.

Di Parlimen Pensiangan terdapat dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sook dan Nabawan serta meliputi tiga daerah iaitu Daerah Nabawan, Daerah Kecil Sook dan Daerah Kecil Pegalungan.

Suatu yang menarik bagi kawasan Pensiangan yang majoritinya terdiri daripada suku kaum Murut dan diikuti Kadazan ini ialah kedudukannya yang bersempadan dengan Wilayah Kalimantan, Indonesia.

Di sini, jika seseorang pengunjung luar menyusuri Sungai Pengalungan yang sejuk dan jernih airnya, andai terleka dan tidak berhati-hati selepas melalui Kampung Bantul, dia pasti akan terlepas ke sempadan negara jiran.

Kedudukan yang jauh di pedalaman serta keadaan geografi yang berbukit-bukau dan bersungai itu turut menyukarkan usaha membawa pembangunan dan kemajuan di Pensiangan berbanding kawasan lain di Sabah.

Kawasan ini pada pilihan raya umum 1986 diwakili oleh Datuk Taimin Lumaing dari Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau kemudian menyertai UMNO pada tahun 1994.

Berikutan persempadanan semula, Parlimen Pensiangan dimansuhkan dan sebahagian kawasannya pentadbirannya dimasukkan di bawah Parlimen Keningau dan sebahagian lagi di bawah Parlimen Tenom pada pilihan raya umum 1999.

Hasil rayuan beberapa pihak dan kajian Suruhanjaya Pilihan Raya, Parlimen Pensiangan kemudian diwujudkan semula pada pilihan raya umum 2004 dan calonnya bekas Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Bernard S. Maraat menang dengan majoriti 608 undi.

Pada pilihan raya itu, Maraat yang mendapat 5,880 undi menewaskan Matin Tomy @ Tommy (Bebas) yang mendapat 5,272 undi dan Razali Suffian dari Parti Setia (557 undi).

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu pula, berlaku 'ribut kecil' dalam PBRS apabila Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup memutuskan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Sook, sebaliknya beralih angin bertanding di kawasan Parlimen Pensiangan.

"Saya berpindah ke Pensiangan kerana mahu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat di kawasan itu. Pertukaran kawasan adalah proses biasa bagi mana-mana parti," kata Kurup semasa menjelaskan alasan mengenai tindakannya itu.

Tindakan tersebut menyebabkan Maraat sebagai penyandang tidak berpuas hati dan hampir-hampir nekad menentang 'bos' sendiri dengan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen berkenaan.

Maraat bagaimanapun difahamkan berjaya dipujuk oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri supaya menarik balik keputusan itu.

Beliau kemudian keluar daripada PBRS dengan menyertai PBS. Baru-baru ini, Maraat terpilih sebagai Ketua PBS Bahagian Liawan pada mesyuarat agung tahunan parti itu.

Oleh kerana perkhidmatan yang berkesan Maraat di Pensiangan, Kurup dikatakan agak sukar untuk menakluk kawasan itu jika tanpa izin dan restu daripada pemimpin itu yang telah bekerja keras lebih empat tahun di kawasan berkenaan.

Kurup bagaimanapun difahamkan terpaksa bertindak demikian kerana Maraat dilapor bergerak memberi perkhidmatan di Pensiangan secara individu dan bukannya sebagai anggota parti PBRS.

Berikutan kedudukan kukuh Maraat dengan pengundi di Pensiangan dan hubungan yang retak dengan anak didiknya itu, pemerhati politik melihat Kurup agak sukar untuk menawan kawasan Parlimen itu.

Ini kerana, tindakan beliau itu juga dikaitkan dengan cubaan 'melarikan diri' daripada bertembung dengan musuh lamanya iaitu Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang sekian lama mengidam menamatkan karier politik Kurup di DUN Sook.

Tuah sebaliknya menyebelahi Kurup pada hari tersebut apabila diisytihar menang tanpa bertanding selepas dua calon yang hadir untuk bertanding di kawasan berkenaan dikatakan lewat menghantar borang pencalonan.

Pengisytiharan kemenangan beliau pada hari penamaan calon itu turut menimbulkan kekecohan apabila beliau dilapor cuba diserang di luar Dewan Komuniti Nabawan oleh penyokong parti pembangkang yang enggan menerima keputusan tersebut.

Peralihan kawasan Kurup bagaimanapun membawa tuah kepada PBRS kerana sebagai Presiden yang mewakili sebuah parti komponen BN, beliau dilantik menganggotai barisan Kabinet sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Pelantikan itu tentu sahaja bertepatan dengan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Pensiangan yang amat memerlukan pembelaan khususnya dalam usaha menyediakan kemudahan asas jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

Namun begitu, ibarat panas yang dilanda hujan di tengah hari, nasib Kurup akhirnya ditentukan oleh Mahkamah Pilihan Raya. Kemenangan beliau pada hari pencalonan 24 Februari lalu dibatalkan atas beberapa isu yang ditimbulkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Meskipun masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan, namun suka atau tidak, Barisan Nasional Sabah perlu bersiap sedia untuk memastikan kerusi tersebut tidak jatuh ke tangan pembangkang.

Pada masa ini, daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, pembangkang hanya berjaya merampas satu kerusi iaitu Parlimen Kota Kinabalu atas tiket DAP.

Selepas menang pada pilihan raya di Permatang Pauh, baru-baru ini, pastinya PKR akan berusaha menambah satu lagi kerusi untuk mengukuhkan cita-cita menubuhkan kerajaan baru.

Masa depan Parlimen Pensiangan mungkin akan beralih kepada 19,712 pengundi di kawasan itu selepas ini. BN pula boleh menganggar kemenangan jika berdasar prestasi dua DUN yang diwakili oleh calon BN di situ.

Pada pilihan raya lalu Datuk Ellron Angin yang merupakan Timbalan Presiden PBRS menang dengan majoriti 2,131 undi di DUN Sook, manakala Datuk Bobbey Ah Fang Suan yang juga Ketua Penerangan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menang dengan majoriti 2,087 di DUN Nabawan.

Apa pun, parti pembangkang tentu sekali tidak akan memberi laluan mudah kepada PBRS dan BN untuk mengekalkan kemenangan bagi kerusi Parlimen Pensiangan.

Melihat kepada senario politik semasa, misi dan percaturan pembangkang bukan lagi kepada apa yang akan diperoleh oleh rakyat Pensiangan tetapi apa yang boleh ditambah di Parlimen.

No comments: