Tuesday, September 9, 2008

SPR tunggu proses rayuan Kurup selesai

ARKIB : 09/09/2008

PUTRAJAYA 8 Sept. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia mengendalikan satu pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Pensiangan hanya selepas proses rayuan oleh penyandang kerusinya, Tan Sri Joseph Kurup di mahkamah selesai.

Setiausahanya, Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor berkata, Seksyen 36 (a)(1) menyatakan Kurup boleh membuat rayuan terhadap pengisytiharan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini yang membatalkan kemenangan tanpa bertandingnya pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

''Beliau (Kurup) kena buat rayuan dalam tempoh 14 hari dan rayuan yang diterima akan dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan yang akan membuat keputusan dalam tempoh enam bulan.

''Masa panjang lagi. Soal sama ada kami (SPR) bersedia atau tidak kerana baru sahaja mengendalikan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tidak timbul kerana ini memang tanggungjawab kami jika diminta berbuat demikian oleh undang-undang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semasa menyampaikan penghakiman hari ini, Hakim David Wong Dak Wah memutuskan penolakan terhadap kertas pencalonan pempetisyen dari Parti Keadilan Rakyat, Danny Anthony Andipai adalah salah dan melanggar hak perlembagaan petisyen untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu serta undang-undang bertulis berkaitan pengendalian pilihan raya itu.

Dalam penghakiman 36 muka surat, Dak Wah berkata keputusan Timbalan Pengarah SPR Sabah menerima kertas pencalonan Andipai adalah muktamad dan tidak boleh ditolak oleh Pegawai Pilihan Raya, Bubudan OT Majalu, atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.

Kurup yang memimpin Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

No comments: