Wednesday, September 10, 2008

UMNO tidak lobi bertanding di Pensiangan

ARKIB : 09/09/2008

SEPANG 8 Sept. - UMNO Sabah tidak akan melobi untuk bertanding kerusi Parlimen Pensiangan sekiranya pilihan raya kecil diadakan di situ, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Lajim Ukin.
Lajim yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort percaya UMNO negeri tidak akan berbuat demikian kerana kawasan Parlimen Pensiangan merupakan satu-satunya kerusi milik Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
''Kerusi Parlimen Pensiangan merupakan satu-satunya kerusi yang ditandingi calon dari PBRS, takkan ini pun UMNO nak ambil," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas batal dan tidak sah.
Menurut Lajim, beliau yakin calon BN akan memenangi semula kerusi Parlimen Pensiangan yang merupakan kubu kuat parti itu.
''Pensiangan merupakan kawasan Barisan Nasional (BN) dan saya yakin pengundi di situ akan terus sokong BN," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukan calon yang sesuai untuk bertanding di Pensiangan.
''Lobi-melobi itu mungkin ada, tetapi kita akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti," katanya.


-Utusan Malaysia

No comments: