Friday, November 28, 2008

PAGALUNGAN MENANTI SINAR PEMBANGUNAN

NABAWAN: Pagalungan, sebuah kawasan paling mundur di daerah Nabawan, akan berubah statusnya apabila melaksanakan projek agripolis di samping mempunyai kemudahan jalan raya yang lebih baik.
.
Minggu lepas Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd. Zin Mohamed yang melawat kawasan Parlimen Pensiangan dan melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk Pagalungan, segera meluluskan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf Jalan Sapulut - Pagalungan.
.
Pagalungan hanya boleh dikunjungi melalui perjalanan bot selama 45 minit daripada jeti Salung, dan mengharungi pula perjalanan selama tiga setengah jam lagi melalui jalan darat yang digunakan lori-lori balak
.
Peruntukan yang diumumkan oleh Mohd. Zin itu sudah tentu diterima dengan tangan terbuka oleh para penduduk.
.
Anggota Dewan Undangan Negeri Nabawan, Datuk Bobbey Suan semasa memberitahu Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), berharap jalan yang dinaik taraf tersebut boleh digunakan segera menjelang pertengahan tahun depan.

Katanya, sebanyak 40 buah kampung dengan penduduk seramai 6,000 sedang menunggu manfaat daripada jalan tersebut.

Turut bakal dinikmati para penduduk adalah projek agripolis selauas 440 hektar, yang boleh dianggap seperti projrk ladang mini Felda, katanya.

"Projek di kampung Sumatalun, di mana seluas 400 hektar daripadanya akan dibangunkan dengan projek pertanian dan 40 hektar untuk perumahan".

"Ia masih dalam peringkat awal, sebenarnya kita diminta oleh pihak kerajaan untuk mengenal pasti, kita perlu satu kerja kerja lagi dan kemudian diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Jenis tanamannya adalah mengikut kesesuaian tanah tetapi banyak lagi yang berminat kepada tanaman getah dan juga kelapa sawit", kata Bobbey.

Katanya kesemua pembangunan ini akan membawa Nabawan yang kategori sebagai daerah kedua termundur selepas Pitas, keluar dari miskin tegar.

Dianggarkan kira-kira 1,600 keluarga di Nabawanm tergolong sebagai miskin tegar.

Penduduk Pagalungan sememangnya menanti-nanti untuk merasai manfaat daripada projek yang telah dirancang di kawasan mereka.

Menurut Ketua Anak Negeri, Januddin Ampat Tagol, 42, kos perjalanan adalah sangat tinggi dan jalan sedia ada terlalu sukar untuk digunakan misalnya untuk membawa pesakit bagi mendapat rawatan segera.

Seorang pekerja di Pejabat Daerah Pagalungan, Regina Linonoi, 24, berkata tambang perjalanan menggunakan bot adalah tinggi iaitu RM160 seorang dan perjalanan terpaksa dilakukan dua tiga kali dalam seminggu.

"Selain pembangunan infrastruktur jalan raya, kami juga berharap kerajaan memperbaiki penerimaan siaran radio dan televisyen. Adalah lebih baik kalau ada siaran radio yang dipancarkan khusus untuk kawasan pedalaman termasuk Pensiangan, seperti yang ada di Sandakan dan Tawau".

"Sekiranya kerajaan menimbang untuk mewujudkan unit radio, kami juga mengharapkan bahasa kami iaitu Murut diberi ruang dalam stesen itu," tambah Regina.

Mohd. Zin turut meluluskan peruntukan RM11 juta bagi kajian awal projek jalan raya dan jambatan di seluruh Pensiangan.

Semua projek di Pensiangan dianggarkan bernilai RM430 juta yang akan memakan masa selama 10 tahun untuk disiapkan yang meliputi Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas, katanya.

.- BERNAMA

.

No comments: