Tuesday, November 18, 2008

Segerakan projek pembinaan hospital

ARKIB : 19/11/2008
NABAWAN 18 Nov. - Kerajaan Pusat diminta menyegerakan pelaksanaan semula projek pembinaan hospital di daerah ini yang tergendala dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berkata, pembinaan hospital di daerah ini sangat penting bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di kalangan penduduk yang semakin meningkat.

''Sekarang sudah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tetapi hospital daerah ini masih belum dibina.

''Justeru, perkara ini telah kita ketengahkan kepada pihak berkenaan bagi mengetahui status sebenar pembinaan hospital Nabawan yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu. Kita mahu ia dibina secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat di rumah Panjang Kampung Malampoi di sini semalam.
Dalam RMK-8, kerajaan Pusat merancang membina Hospital Nabawan di kawasan seluas 20 hektar.

Bagaimanapun, akibat timbul masalah tertentu menyebabkan projek berkenaan terbengkalai.
Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, penduduk daerah ini amat memerlukan perkhidmatan rawatan sama seperti hospital yang terdapat di bandar-bandar.

Oleh itu, Kurup berkata, projek pembinaan hospital itu mesti direalisasikan secepat mungkin.
''Kita mahu pembinaan hospital ini menjadi kenyataan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Terdapat tiga buah pusat kesihatan di daerah ini iaitu pekan Nabawan, Pagalungan dan Pensiangan.

Pusat kesihatan ini mempunyai dua unit yang mengendalikan perkhidmatan kesihatan luar bandar, ibu dan anak.

No comments: